Wednesday, February 11, 2009

SMK Victoria (VI) Warisan Kebangsaan


SEBAHAGIAN daripada bangunan asal Victoria Institution yang bakal mencecah usia 116 tahun, Sabtu ini.


KUALA LUMPUR 11 Feb. - Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria (VI) di sini yang bakal berusia 116 tahun pada 14 Februari ini akan diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan.

Keputusan bersejarah itu sekali gus menjadikan Victoria Institution atau VI muncul sekolah pertama di negara ini yang memperoleh pengiktirafan berprestij itu.

VI yang diasaskan oleh Sultan Abdul Samad, William Hood Treacher, Loke Yew, Thamboosamy Pillay dan Yap Kwan Seng pada 14 Ogos 1893 berjaya mengekalkan kecemerlangannya dalam melahirkan ramai tokoh terbilang dalam pelbagai bidang.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) VI, Raja Amir Shah Raja Abdul Aziz berkata, matlamat utama VI selepas mendapat pengiktirafan itu ialah meneruskan lagi kegemilangannya sehingga beratus-ratus tahun lagi.

Beliau berkata, pengiktirafan itu akan menjadi pemangkin kepada PIBG, pelajar dan Persatuan Bekas Pelajar VI (VIOBA) untuk terus melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik dan kokurikulum serta berketerampilan sebagai pemimpin berwibawa.

"Kita akui sejak kebelakangan ini produk VI agak tenggelam sehinggakan masyarakat luar membandingkannya dengan VIOBA yang terdahulu, seolah-olah tidak wujudnya kesinambungan yang mewarisi kecemerlangan dan kewibawaan sekolah itu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Antara bekas pelajar VI ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Tan Sri Yaacob Latiff, Datuk Mahadev Shankar, Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.

Dalam bidang ekonomi, VI berjaya melahirkan pengasas Kumpulan Sapura, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir; T. Ananda Krishnan, Tan Sri Francis Yeoh, Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam dan Tan Sri Kamarul Ariffin Mohd. Yassin.

VI juga berjaya melahirkan tokoh sukan antaranya Datuk Dr. M. Jegathesan, Datuk P. S. Nathan, Allahyarham Mokhtar Dahari, Datuk Misbun Sidek dan adik-beradiknya, Foo Kok Keong dan Ishtiaq Mubarak.

Ia juga merupakan sekolah selebriti tanah air seperti Datuk Mahadzir Lokman, Krishen Jit, Datuk K. Kamalesvaran atau Datuk Kamahl, Zarul Al Bakri, Wan Zaleha Radzi, Jit Murad, Ahadiat Akashah, Aidit Alfian, Amir Muhammad dan Ashraf Sinclair.

Semasa Perang Dunia Kedua, VI menjadi markas pentadbiran tentera Jepun pada 13 September 1945 dan selepas Jepun menyerah kalah, majlis penyerahan kembali kepada Inggeris turut diadakan di sekolah itu pada 22 Februari 1946.

Raja Amir Shah menambah, sempena majlis pengisytiharan yang akan disempurnakan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, ahli VIOBA telah menyatakan komitmen untuk menghadiri majlis bersejarah itu yang akan bermula pukul 9.30 pagi.

"Secara kebetulan, sehari sebelum acara itu berlangsung, Shamsuddin akan menghadiri majlis kesyukuran di surau yang beliau wakafkan kepada VI pada tahun 1996,'' katanya.

Menurutnya, VI akan mengadakan pelbagai majlis seperti makan malam, pertandingan golf amal, konsert 100 tahun pancaragam VI, larian merentas kota amal, pertandingan bolasepak Piala Mokhtar Dahari, futsal dan paintball.

"Pada hari itu juga akan berlangsung acara khas bagi Pasukan Kor Kadet Pancaragam VI yang menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-100 tahun iaitu pasukan pancaragam tertua di Asia Tenggara.

"Ini bakal menyaksikan sejumlah besar bekas ahli pancaragam akan berhimpun dan membantu pasukan membuat persiapan ke kejohanan pancaragam dunia yang bakal berlangsung di Monza, Itali tidak lama lagi,'' katanya.

No comments: