![]() |
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong turun dari tren shuttle untuk ke sekolah. - utusan / Hafiz Johari |
KUALA KRAI 31 Mei - Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) masih merupakan pengangkutan utama di kawasan pedalaman jajahan ini dan terus menjadi nadi penghubung puluhan perkampungan dengan dunia luar.
Walaupun sudah terdapat jalan raya termasuk di Dabong, Kuala Gris, Kampung Baru Bukit Abu, Ulu Temiang, namun masih tiada pengangkutan bas awam kerana ia sukar untuk memberi pulangan kepada pengusaha.
Perkhidmatan kereta sewa dan juga 'prebet sapu' pula tentunya mengenakan kadar bayaran yang tinggi dan pilihan terbaik masih kereta api terutama bagi pelajar dan masyarakat lainnya dalam menjalankan urusan harian.
Setiap hari hampir 350 pelajar sekolah rendah dan menengah di jajahan itu menggunakan perkhidmatan kereta api 'kampung' dalam keadaan koc-koc agak usang yang tidak begitu selesa untuk berulang-alik ke sekolah.
Jadual perjalanan tren biasa pula menyebabkan mereka keluar awal dari rumah dan terpaksa menunggu agak lama untuk kembali ke rumah malah kerap pula bersesak-sesak terutama pada musim perayaan.
Bagaimanapun dengan pelancaran tren shuttle Tumpat-Dabong-Tumpat pada 3 Mei lalu telah mengubah rutin harian penumpang dan mereka mengalu-alukan penambahan satu lagi perkhidmatan.
Pelancarannya telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan KTMB, Datuk Abd. Radzak Abd. Malek yang menganggap pengenalan koc baru itu memberi kemudahan yang lebih selesa dan menyenangkan.
Langkah pembaharuan perkhidmatan itu bukan sahaja memberi peluang kepada penumpang menikmati koc yang lebih selesa kerana dilengkapi penghawa dingin, lampu dan bilik air tetapi juga jadual perkhidmatannya diperbaiki menjadi lebih kerap.
Pengurus Pemasaran KTMB, Mohd. Noordin Kimi berkata, jadual tren baru yang bertolak dari Tumpat pada pukul 10.45 pagi akan berhenti di stesen Wakaf Baru seterusnya ke Pasir Mas, Tanah Merah, Temangan, Krai, Manek Urai, Bukit Abu dan Dabong.
''Walaupun pada awalnya KTMB memperkenalkan perkhidmatan tren tersebut sampai ke Dabong tetapi atas permintaan warga sekolah di kawasan seterusnya, pihak kami bersetuju meneruskan perjalanan ke stesen Kemubu.
''Kini tren tersebut dikenali sebagai tren shuttle Tumpat-Dabong-Kemubu-Tumpat. Jadual tren dari Kemubu pula akan bertolak pukul 1.20 petang menuju ke Dabong dan bertolak dari sana pukul 2.10 petang.
''Tren tersebut akan berhenti di semua stesen pada sebelah pagi dan ditambah dengan beberapa perhentian lain termasuk Kuala Gris, Kampung Baru Bukit Abu, Ulu Temiang, Kampung Baru Sungai Mengkuang dan Tok Uban," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Noordin menambah, langkah tersebut dilakukan untuk menyeimbangkan keselesaan penumpang di kawasan bandar dan golongan yang jauh di pedalaman.
''KTMB mengambil keputusan memberikan mereka perkhidmatan yang lebih baik kerana penumpang di pedalaman juga berhak menikmatinya.
''Daripada pemerhatian, seramai 100 sekolah rendah dan 250 pelajar sekolah menengah menggunakan perkhidmatan kereta api setiap hari.
''Murid sekolah rendah akan turun di stesen kereta api Kuala Gris untuk ke Sekolah Rendah Kuala Gris manakala pelajar sekolah meneruskan perjalanan ke Dabong untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong," katanya.
Pengenalan baru tren ini semata-mata untuk melengkapkan perkhidmatan sosial pengangkutan walaupun pihaknya mengalami kerugian dari segi kos penyelengaraan.
''Walaupun KTMB menanggung kerugian dari kos operasi, namun pelajar dan penumpang di kawasan pendalaman juga mempunyai hak menikmati keselesaan. Lebih ramai pula berpeluang mengunakan perkhidmatan kereta api yang disesuaikan dengan masa," ujarnya.
Noordin menambah, buat masa ini sebanyak empat koc daripada kereta api Express Timur Singapura yang tiba di stesen Tumpat dialihkan kepada gerabak kereta api menuju ke Dabong setiap hari pada pukul 10.45 pagi dan berpatah semula ke tumpat pada pukul 2.10 petang.
Pembaharuan tersebut telah mengubah jadual harian penumpang terutama di kalangan pelajar yang terpaksa menunggu tren lama dari Dabong bertolak pada pukul 3.30 petang.
''Pengenalan koc baru itu juga telah menjimatkan masa pulang lebih awal di kalangan pelajar yang sebelum ini rata-rata yang menggunakan perkhidmatan tren lama, lambat sampai ke rumah dan ada kalanya sehingga menjelang senja.
''Menggunakan koc baru, masa mereka dapat dijimatkan dalam tempoh 1 jam 20 minit kerana ia memulakan perjalanan kira-kira pukul 2.10 petang dari Dabong. Lebih awal mereka sampai lebih lega keluarga di rumah di samping boleh memanfaatkan masa untuk mengulang kaji pelajaran," katanya.
Bagi memudahkan urusan perkhidmatan katanya, para penumpang terutama di kalangan pelajar sekolah dan penumpang tetap digalakkan untuk mendapatkan pas bulanan.
''Pihak pengurusan akan melakukan kajian dan mengadakan perbincangan agar pengguna yang membeli pas bulanan tersebut mendapat harga potongan istimewa dan sewajarnya.
Selain itu katanya, KTMB juga berhasrat menarik lebih ramai penumpang termasuk pelancong tempatan dan luar negara menggunakan perkhidmatan tersebut untuk ke kawasan perkelahan air terjun Gunung Stong yang berhampiran laluan tren menuju ke Dabong.
''KTMB turut terpanggil untuk mempopularkan destinasi pelancongan domestik yang terkenal di kawasan tersebut di sekitar Gunung Stong dan Gua Ikan yang sering dikunjungi oleh orang ramai termasuk pelancong dari selatan Thailand dan Eropah yang menaikinya dari Tumpat.
''Diharap pengenalan koc baru yang jauh lebih baik ini mampu menambah jumlah kemasukan pelancong,'' katanya.
No comments:
Post a Comment